Friday 26 September 2014

ADUHAI SELANGOR

"Pemimpin bukan hanya sekadar bersih tetapi dia juga harus kelihatan bersih" itulah katanya amalan kepimpinan yang lama, nak terus bertanya, lebih baik niatnya dipadamkan sahaja kerna jika itupun tak faham hingga berpinau kepala, sahlah ke menara gading usaha yang sia-sia.

Begitulah orang lama, ringkas bersahaja namun padat nasihatnya, tak terbanding dengan generasi kita, berhujah berdentum bergetar semua yang ada namun logiknya sekadar satu lagi halua telinga. 


Pentas ke pentas berbuih bercerita aksi songsang pemerintah sebelumnya dia, laksana manusia termulia dia dikalangan mereka, tak terduga bukan sekadar cerita mulut sahaja...video aksi dia dengan si dia laksana layar biru diperbentang melata...


Apa pula kata mereka???


Kata mereka bukan dia, kata mereka pelanduk dua serupa, kata mereka rekaan semata, terus lupa buih dia bercerita tentang lawannya, menafikan mudah sangat kerjanya, panggil saja sang serban berjela maka fatwalah konon dibentangkannya, "video sekadar gambar sahaja, bukan manusia" sang serban ghairah menyelamatkannya "tiada saksi tiadalah kesnya" hmmm...tak terfikir ada yang tergamak nak buat kerja macam dia bawa saksi ya???


Pelik...entah kategori apa pengikut mereka, tak faham perumpamaan terus Kak Listen dihina-hina, tak payah ditanya apa yang tak kena, dah tau jawapannya sebab bukan puak itulah ubatnya, segala jasa mendidik anak bangsa dibuang begitu sahaja.


"Tumbangkan kerajaan lama" kerajaan zalim kata mereka, dah tumbang...Khalid lah paling layak jadi Menterinya...tak habis dua penggal...Khalid pun zalim juga??? Bukan orang lain...kan puak mereka, terbongkar rahsia, Khalid rakyat didahulukannya bukan pemimpin mereka maka zalimlah dia, ditumbang juga hukumnya.


Puak pula bagaimana?


Owhh...yang guna toilet beraksi semata maka Menterilah dijadikannya, bersumpah bagai taat setia pada Raja dan Negara, selang sehari...pejuang LGBT dikerusi "advisor"


Apa pula seterusnya?


Dah "advisor" orang yang sama, niat nak "parking" isteri kat kerusi Menteri belum terlaksana, sementara nak habis penggal Selangor dapat lagi dua ke tiga Menteri Besar yang baru agaknya.



"SELANGOR OH SELANGOR"

Wednesday 10 September 2014

SELANGOR DAHULU & HARI INI

Menarik bila kita mengetahui sejarah sesuatu tempat, didalamnya penuh dengan pelbagai cerita padat, jika rajin diteliti baru kita sedar ianya amat hebat, mampu dijiwai sejarahnya buat kita  sedar apa dan siapa sebenarnya bangsa merempat.

Ada waktunya dalam bersembang bersama rakan, menjadi topik hangat bercerita sakan, masing-masing mempunyai pendapat awang-awangan berhujah hingga tak daya disangkalkan, ada yang berdasarkan bahan bacaan, tidak ketinggalan juga berdasarkan cerita rakyat turunan dikalangan penduduk tempatan.

Itu ini begitu dan begini, tak bosan mendengar tercuit juga hati, siapa bijak berhujah dialah menjuarai, fakta benar atau auta hakikatnya…tak siapa yang mengadili, niatnya sekadar cerita dikedai kopi atau dikalangannya nak kekalkan hidung tinggi.

"Kota tu sampai hari ni kukuh betul kan, kalaulah Melayu yang ada masa tu kukuh berpaduan, pasti kota tu tak dijadikan sekadar bahan" terngiang kedegaran ungkapan seorang rakan, sambil lalu terungkap ringkas secara spontan, yang paling pendiam ketika mereka berhujahan, ringkas dan bersahaja tak sekelumit niat nak menjadi johan.

Hmmm…tak melayang tak melaut ringkas penuh berisi, Perang Saudara disebalik Kota terimbau kembali, kita terlalu sibuk tak berkesempatan menjiwai, padahal perjalanannya setelah itu menghasil budaya kehidupan kita masa kini.

Ironik sungguh zaman berzaman, wujudnya "Tek Cheng" ditengah perpecahan, seolah tiada penghujung… sejarah diteruskan, kita bergolak kita berpecahan, mereka ketawa “yamm seng” hingga kemengahan, mengumpul hasil meningkat kekayaan untuk generasi mereka buat bekalan.


Yang tinggal hanyalah Lambang Kemegahan, tak sedar lebih dalam dari itu Kota itu Lambang Perpecahan yang diantaranya dipenuhi pengkianatan.