Monday 4 March 2013

ESOK SIAPAKAH AKU???



Mereka kata ayahku gagah, Mereka kata ayahku tak goyah, Mereka kata ayahku tak gentar, Mereka kata ayahku berjuang hingga keakhirnya. Mereka kata ayahku wira sebenar.

Sedang mereka fitnah memfitnah, pemergian ayahku pada mereka hanya sandiwara. Mungkin esok ayahku kembali kerumah, bersama aku bersama keluarga. 

Mungkin ayahku akan bersuara, mungkin ayahku akan tertawa, memberitahu aku benar kata mereka, semua ini hanya sandiwara.

Jadi...tubuh siapakah terbujur kaku, tubuh siapakah dihadapan mataku, tubuh siapakah diratap bonda ku, tubuh siapakah dikafan keluargaku, tubuh siapakah dikebumikan bersama duniaku.

Hari ini aku anak pahlawan, hari ini aku di mata negarawan, hari ini semuanya menawan, dewasa terjelepuk dalam harapan, akan kah hilang aku di telan zaman, sepertimana kisah pemergian ayahku kan terlapuk dek hujan.

Esok sentiasa berganti, esok hidupku berganjak setapak lagi, esok siapa pula kan ku cari, esok siapa pula membimbing jalan yang harus ku lalui, yang pasti esok ayahku kekal tak kembali.

Bersama atau tanpa ayah hidupku terlayar jua, suasana heruk pikuk kan hilang begitu sahaja, sendu kekal tertanam dijiwa, disisi aku kekal kah mereka atau sendan bersifat sementara.

Sebahagian meratap pemergian ayahku, sebahagian mendoakan ku, sebahagian meratapi masa depan ku, sebahagian berkongsi penderitaan ku, sebahagian bertanya siapa pembela ku, tapi...ayahku kekal hilang bersama duniaku, sebahagian iringi kah aku dan esok siapakah Aku???

"BERTAHANKAH SEMANGAT
PERJUANGAN DI HATI KITA
DALAM MEMBELA ANAK INI
SEPERTIMANA BERSEMANGATNYA
PERJUANGAN MEMPERTAHAN
KEAMANAN NEGARA
YANG DILAKUKAN OLEH
AYAHNYA???"

Saturday 2 March 2013

NEGARAKU NYAWAKU

Kata mereka kita masih belum merdeka, kata mereka kita dikaburi mata, kata mereka kemakmuran hanya propaganda, kata mereka kita belum kenal pemimpin kita, kata mereka gadaikan sahaja negara, sebaliknya kami korbankan jiwa raga.

Hidup kami mati kami segalanya kerana DIA, tiada yang lain mengalas tanggungjawab seadanya, bukan bertelagah sesama kita, bukan menfitnah semua yang ada, bukan permainan duniawi amalan semata, bukan membunuh dipentas kuasa, menghunus senjata memerangi musuh negara. Kami pergi menjawab seruan DIA.

Berbunyi samboyan sebagai tanda, tinggal anak tinggal saudara, sepeninggalan genggam erat pesanan ayahanda, jangan terpengaruh hasutan mereka, gadai negara tujuan semata, tiada yang lain kepentingan diri sahaja.

Berterbangan peluru mencari mangsa, cetus perperangan dek hasutan mereka, pertahankan negara sumpah yang tak pernah dilupa, berlindung di sebalik wanita mereka berkata, semua yang dipertontonkan lakonan semata, perginya kami sia-sia kata mereka.

Wahai pemimpin negara, pergi kami untuk kamu kekal berkuasa, tidak balasan tidak harta yang kami pinta, tinggal anak maka yatimlah mereka, tinggal isteri maka balu lah hadiahnya, tinggal ibunda maka hancurlah hatinya. Pandang pandang jenguk-jenguk lah mereka sepertimana kamu melihat keluarga kamu seadanya, jangan mereka menangung malu di hina dek si pencetus durjana.


Kami pergi buat selamanya, tinggallah anak, tinggallah isteri, tinggallah ibunda, tinggallah segalanya. Pemergian kami tidak akan pernah sia-sia kecuali kepada mereka yang tidak kenal saudara kerana kuasa gadai segalanya, perginya kami tiada lain  demi tanahair tercinta.


"YATIM, BALU, & IBUNDA
SIAPA PULA YANG AKAN
MEMBELA"